Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para pengunjung kek coklat sekalian. Bersyukur ke hadrat Allat swt kerana kita masih diberikan kesempatan untuk meraikan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini. Alhamdulillah kerana diberikan kesempatan untuk terus bertebaran di muka bumi ini. Sentiasalah mengambil iktibar daripada peristiwa-pertistiwa insan yang terlebih dahulu meninggalkan kita. Semoga hati-hati kita sentiasa bersedia untuk menyusul mereka kelak. Rehat yang pasti di alam kubur sana. Soalnya `rehat` dalam bahagia ataupun terseksa?
Erti Hari Raya Aidiladha
Apa agaknya erti Hari Raya Qurban buat setiap daripada kita? Jika soalan ini diajukan kepada anda yang membaca. Apakah jawapan yang bakal diberi?
"Menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim".
"Menghayati erti berkorban".
Pasti banyak jawapan yang akan diberikan secara spontan.
Saya menyoal lagi, apakah jawapan ini datang dari hati? Apakah jawapan ini merupakan pandangan dan pemerhatian kita sendiri (berasaskan Islam pastinya). Mungkinkah jawapan ini hasil daripada copy-paste daripada seseorang?
Bukanlah ingin saya mengatakan salah untuk menjawab menggunakan pendapat ustaz ataupun ustazah yang memberikan pengertian Hari Raya Qurban. Jauh sekali saya ingin menyatakan maklumat di majalah serta buku-buku agama itu salah. Cuma, saya suka untuk membawa semangat carilah jawapan dari dalam hati.
Mencari Erti Dari Dalam Hati
"Jangan banyak bertanya. Boleh sesat".
Satu ayat yang pernah singgah dalam hidup saya. Mencari itu sesat? I listened.
Namun selepas suatu ketika, semakin mengenal Islam, semakin saya memahami erti pencarian. Hidup sebagai seorang Muslim ini perlu penuh pencarian. Pencarian sepanjang kehidupan! Proses pencarian itu melibatkan berfikir dan bertanya. Tidak dapat tidak. Membawa dimensi baru dalam pemikiran bahawa mencari agar tidak sesat. Ertinya, tidak mencari lebih menyesatkan!
Berbalik kepada erti Hari Raya Aidiladha. Sememangnya digalakkan untuk kita membaca artikel berkaitan dengannya. Tidak membaca boleh membawa sesat juga. Taklid buta. Cumanya, saya ingin membawa semangat, nilailah kembali hasil bacaan. Fikirkan dan simpulkan. Kita semua pernah belajar membuat kesimpulan dalam matapelajaran Bahasa Melayu bukan? Mudah sahaja right?
Carilah erti agar kita akhirnya mempunyai satu pandangan dan jawapan yang tersendiri. Erti Hari Raya Qurban yang lahir daripada hati.
Setiap daripada kita berbeza. Punya kisah yang berbeza. Ambillah iktibar daripada peristiwa Qurban untuk disesuaikan dengan kisah kehidupan kita. Apakah pengorbanan yang ingin kita lakukan?
Mungkin ini membantu kita menjawab erti Hari Raya Aidiladha kita pada tahun ini. Ambillah masa sekejap untuk berfikir dan mencari jawapan. Jawapan itu ada di dalam hati. Jujur pada diri. Berdoalah tatkala mencari, Allah mendengarnya.
Justeru, Saya bertanya sekali lagi pada pemilik hati-hati yang membaca.
"Apakah erti Hari Raya Aidiladha buat anda?"
Ambil masa, tanya pada diri, berfikir dengan tenang, selamilah hati. InsyaAllah, jika bukan saat ini, pasti akan bertemu jawapannya. Syaratnya perlu teruskan mencari.
Seruan saya, marilah memaknakan Hari Raya Aidiladha. Mencari erti dengan mata hati. Mencari erti dengan sabar dan solat.
~i lurveislam~
0 comments:
Post a Comment